Sunday, April 22, 2018

UPACARA PENGEBUMIAN ORANG KRISTIAN


CARA PENGKEBUMIAN ORANG KRISTIAN.
PENGENALAN:
Agama Kristian merupakan salah satu agama yang mempunyai ramai penganutnya di seluruh dunia. Kristian adalah sebuah agama monotheis yang berdasarkan kehidupan dan ajaran-ajaran Jesus dari Nazaret sebagaimana ditunjukkan dalam karya-karya para pengikutnya dalam Perjanjian Baru. Agama Kristian berkongsi semua kitab-kitab dalam Alkitab Ibrani dengan agama Yahudi dan sebab itu agama ini juga digelar sebuah agama usulan Abraham.
 Pelbagai tradisi agamawi, kepercayaan dan cara sembahyang yang memegang pada adat resam yang tertentu wujud dalam Kristianiti. Agama Kristian selalunya dipaparkan sebagai tiga aliran utama iaitu Katolik Roma, Ortodoks dan Protestan. Untuk cara pengebumian yang akan dihuraikan di bawah adalah berdasarkan mazhab Protestan dan untuk lebih spesifik aliran Anglikan. 


ISI:
Di rumah:-

Semasa si mati baru sahaja meninggal, loceng besar gereja akan dibunyikan sebanyak 12 kali secara perlahan-lahan (selang 12 saat). Jika si mati meninggal di hospital atau di mana-mana tempat selain daripada di rumah, loceng akan dibunyikan semasa mayat dibawa masuk ke dalam rumah. Selepas si mati dimandikan dan dikenakan pakaian, sembahyang “roh berpisah dari jasad duniawi” akan dilakukan. Mayat akan dimasukkan ke dalam keranda selepas itu, kemenyan akan dibakar dan lilin dipasang dan diletakkan kedua-duanya di bahagian kaki keranda.


Semasa hendak dikebumikan(si mati dibawa dari rumah ke gereja atau tanah perkuburan):-


   Sembahyang “perjalanan terakhir” akan dilakukan. Selepas disembahyangkan di rumah, kain putih bersulamkan bentuk salib yang berwarna hitam akan direntangkan di atas keranda, dan kain tersebut akan dipakukan terus ke kayu keranda. Keranda akan diangkat secara perlahan-lahan dan diusung keluar. Loceng besar gereja akan mula dibunyikan perlahan-lahan sebanyak 33 kali (selang 12 saat). Peti keranda tidak boleh mengenai apa-apa objek keras seperti daun pintu atau frame pintu dengan kakinya dihadapankan. Bekas kemenyan akan mendahului perarakan tersebut, diikuti kayu salib sebagai penanda kubur yang berukir nama, tarikh lahir dan tarikh kematian si mati, diikuti peti keranda si mati, kemudian waris terdekat, sanak saudara, sahabat handai serta kenalan atau orang ramai. Pada ketika ini, diharuskan untuk memakai pakaian serba gelap atau hitam sebagai tanda berkabung. Mengikut jarak perjalanan dan kawasan, keranda boleh diarak di atas troli khas, kereta kuda, kenderaan jenazah atau lori “flat-bed”, asalkan keranda tersebut boleh sampai di perkarangan gereja atau tanah perkuburan dalam selang masa loceng besar gereja dibunyikan sebanyak 33 kali tersebut.



Semasa hendak dikebumikan (di perkarangan gereja atau tanah perkuburan):-
   Sebaik sahaja keranda si mati tiba di perkarangan gereja atau tanah perkuburan, loceng besar gereja akan dibunyikan sebanyak 12 kali ( tidak termasuk 33 kali semasa diarak dari rumah), dalam selang masa 3 saat. Si mati akan dibawa masuk ke gereja, sambil dibacakan doa oleh paderi dengan suara segarau yang boleh. Keranda akan diletakkan di tempat khas di hadapan tempat duduk biasa, betul-betul berhadapan dengan meja altar. Sembahyang di dalam gereja akan diteruskan, dengan pembacaan riwayat si mati akan dilakukan selepas pembacaan Injil oleh waris terdekat si mati seperti anak atau saudara kandung. Pembacaan riwayat ini biasanya dilakukan oleh orang lelaki. Selepas selesai sembahyang di gereja, paderi akan mengelilingi keranda tersebut sebanyak tiga kali sambil membawa bekas kemenyan, dan dipercikkan “holy water” yang biasanya dirujuk sebagai pembaptisan terakhir duniawi.


Semasa hendak dikebumikan (di kawasan perkuburan):-
   Keranda si mati akan diusung keluar dari gereja, dengan susunan seperti perarakan dari rumah si mati, dan dibawa ke kuburnya. Dua batang kayu akan diletakkan merintangi lubang kubur yang berukuran 3’x7’x7’. Keranda akan dibawa dan diletakkan di atas kayu tersebut ( belum dimasukkan ke dalam lubang kubur). Sembahyang di lubang kubur akan dilakukan, dan segala perbezaan dunia dan akhirat akan dibacakan. Selepas pembacaan Injil ke-2 selesai, keranda akan diangkat dengan tali, kayu perintang tadi di alihkan dan dengan perlahan-lahan, keranda akan diturunkan atau dimasukkan ke dalam lubung kubur. Doa sembahyang diteruskan, dan di bahagian pembacaan doa “ yang dari tanah kembali kepada tanah, yang dari debu kembali kepada debu”, waris terdekat, sanak saudara, kenalan dan orang ramai akan mengambil sedikit tanah kubur dan dibuang ke dalam lubang kubur. Selepas doa sembahyang tersebut selesai, paderi akan melakukan khutbah ringkas bagi memperingatkan semua yang hadir bahawa setiap orang akan melalui proses yang sama, di masa akan datang. Kubur akan dikambus selepas itu, dan semasa proses tersebut, paderi akan memercikkan lubang kubur tersebut dengan “holy water”. Lilin akan di nyalakan dan didirikan di sekeliling kubur, kalungan bunga akan diletakkan di bahagian kepala kubur, disandarkan pada kayu salib.    



Selepas pengkebumian:-
Semua yang mengikuti upacara pengkebumian tersebut diwajibkan untuk mencuci muka, kaki dan tangan dengan air bunga yang disediakan di luar rumah si mati. Tempoh berkabung wajib adalah selama tiga malam, malam ke-4 adalah malam mengemas dan diikuti dengan malam peringatan hari ke-40, hari ke-100 dan ulangtahun pertama kematian si mati.
Signifikasi Sepanjang Upacara Pengkebumian:-
Ø  Dalam keranda, si mati tidak diikat tangan ataupun kaki. Tangan diletakkan di atas perut, dengan telapak tangan kanan di atas tangan kiri. Si mati ditutup dengan kain putih, sehingga paras bahu. Keranda ditutup tetapi tidak dipakukan (semasa masih di rumah) untuk membolehkan para hadirin untuk melihat si mati semasa penghormatan terakhir.
Ø  Penutup keranda hanya boleh dipakukan atau dikunci oleh waris si mati. Peti keranda tidak boleh disentuh oleh sesiapa kecuali waris dan sanak saudara si mati, sehingga upacara pengkebumian.
Ø  Kedudukan peti keranda adalah di tengah-tengah rumah, bahagian kaki si mati menghadap matahari terbit dan berdekatan dengan pintu besar rumah untuk memudahkan proses pengusungan keluar.
Ø  Semua hadirin tidak dibenarkan memakai topi semasa si mati masih berada di dalam rumah dan semasa di perkarangan gereja atau tanah perkuburan, kecuali orang yang bakal mengusung keranda.
Ø  Peti keranda hanya boleh dipakukan atau dikunci dengan paku, skru atau kunci yang diperbuat daripada besi sahaja.
Ø  12 kali (semasa di rumah) loceng dibunyikan adalah untuk memberitahu penduduk setempat akan berlakunya kematian.
Ø  33 kali loceng besar gereja dibunyikan adalah untuk mengiringi perarakan kematian. 33 kali ini bermaksud 33 tahun perjalanan kehidupan Jesus Christ.
Ø  12 kali loceng besar dibunyikan (semasa dibawa masuk ke gereja) adalah untuk menandakan umur Jesus Christ memulakan sebaran agama Kristian kepada dunia  pada umur 12 tahun. 
Ø  Hadirin semasa pengkebumian membuang tanah ke dalam kubur adalah memberi erti kepada semua untuk menyedari bahawa semua yang hidup akan kembali kepada asal mereka di datangkan.
Ø  Tempoh berkabung 3 malam membawa erti semasa Jesus Christ mati disalibkan, dia berada di dalam lubung kubur selama tiga malam sebelum diangkat naik.
Ø  Malam ke-4 (mengikut dominasi) adalah malam yang mana Jesus Christ berjumpa dengan para pengikutnya sebelum naik ke syurga.
Ø  Malam ke-40 adalah memperingati tempoh berpuasa Jesus Christ sebelum dijatuhkan hukuman salib pada era Pontius Pilate. Hal ini disamakan dengan si mati, yang sudah 40 malam pertamanya “berpuasa” di alam kubur. 40 malam ini juga adalah tempoh di mana selepas kematian Jesus Christ, Roh Kudus turun ke dunia untuk melindungi semua orang Kristian.
Ø  Hari ke-100 dan ulangtahun pertama si mati adalah tidak berkaitan dengan agama Kristian, ini hanya majlis yang di adakan oleh keluarga si mati untuk menandakan bahawa mereka sudah boleh mengadaptasi kehidupan harian seperti biasa tanpa si mati.
Ø  Kedudukan kubur adalah menghadap matahari terbit. Ini kerana dikatakan, kedatangan kali ke-2 Jesus Christ ke dunia pada akhir zaman adalah dari Timur.
Ø  Sejak dari zaman kelahiran Jesus Christ lagi, fungsi kemenyan digunakan atau dibakar adalah bermaksud untuk menyampaikan doa atau sembahyang ke syurga.

PENUTUP:
    Walaupun agama Kristian mempunyai mazhab atau aliran fikiran yang berlainan tetapi mereka masih menggunakan satu kitab yang sama sebagai rujukan. Maka, ada sesetengah upacara keagamaan yang sama antara mazhab lain. Agama Kristian juga mempunyai Tuhan yang sama iaitu Jesus Christ walaupun aliran pemikiran mereka berlainan.


No comments:

Post a Comment